Saturday, December 20, 2008

BUKU "DOA'AN" SEORANG BOMOH KIMARAGANG


Bangsa Kimaragang Tandek kira digeruni juga oleh masyarakat luar kerana terkenal dengan ilmu "popol" dan "sinda'at". Dalam bangsa Kimaragang terdapat beberapa orang yang boleh dianggap handal - bertaraf "boboli'an" dan "bomoh". Saya bertuah kerana dapat menemui salah seorang bomoh yang agak terkenal (nama tidak dinyatakan di sini, atas permintaan individu berkenaan).


Salah satu keistimewaan bomoh ini ialah beliau seorang yang minat berguru dan suka mendokumentasikan ilmu-ilmunya. Dengan izin beliau saya dapat membelek beberapa buku catatan ilmu mantera beliau. Dalam buku tersebut terdapat berbagai jenis mantera antaranya mantera menyembuh orang kerasukan jin/jembalang; mantera pengasih/pugai; mantera untuk kegagahan/amalan bertarak; mantera penyeri muka; mantera tawar bisa; mantera tawar sakit bermacam jenis; mantera penjaga ladang/harta benda/rumah; mantera pengunci kasih; mantera "menyakitkan" roh orang, dan macam-macam mantera lagi. Keistimewaan lain bomoh dusun ini ialah beliau boleh membaca dan menulis jawi. Dengan kemahiran itu beliau juga mampu/berkemahiran dalam ilmu tilik/renung berdasarkan kitab tajul muluk dan bintang 12.
Pengajaran yang saya perolehi daripada bomoh suku kaum kimaragang ini : sesuatu ilmu/informasi mestilah didokumentasikan. Kenapa? anda/kita mungkin ingat, generasi akan datang? Lagi pula, sejarah tidak dapat ditegakkan tanpa bukti dokumentasi...